Persediaan Melancong Ke Luar Negara
- KEADAAN SEMASA
Selidik terlebih dahulu keadaan semasa sesuatu negara terutama yang berkaitan dengan keselamatan dan penyakit berjangkit. Elakkan melancong ke negara yang sedang dalam pergolakkan peperangan, sedang mengalami penyakit berjangkit yang serius (contoh: ebola & selsema burung) dan situasi politik yang tidak stabil.
- MATAWANG
Ketahui kadar tukaran wang semasa dan serba sedikit bahasa yang digunakan mereka untuk mengelakkan anda tertipu semasa ingin menukar wang di negara tersebut serta memudahkan urusan jual-beli anda. Biasanya lebih mudah membuat tukaran di negara sendiri sebelum pergi melancong. Setiap penduduk Malaysia yang ingin ke luar negara hanya dibenarkan membawa keluar/ membawa masuk wang tunai maksima bernilai USD10,000. Sekiranya lebih daripada itu, wajib mengisi borang pengisyhtiharan kastam (tertakluk Akta Kastam 1967).
“Rancanglah trip pelancongan anda agar tidak berlaku pembaziran dan segalanya berjalan lancar.”
- DOKUMEN
Setiap kali ingin ke luar negara, pastikan passport anda mempunyai baki tempoh melebihi 6 bulan (dari tarikh berlepas atau seelok-eloknya dari tarikh tiba kembali di Malaysia), selain itu periksa sama ada negara yang ingin dikunjungi memerlukan visa atau tidak. Pastikan tempoh visa diproses mencukupi sebelum tarikh anda melancong. Sentiasa bersedia dengan pen, jadual perjalanan, nama hotel atau agensi pelancongan yang digunakan kerana sebelum memasuki sesebuah negara, anda dikehendaki mengisi borang kemasukan ke negara tersebut dan akan disahkan di kaunter masuk imigresen mereka.
- KEADAAN CUACA
Setiap negara mempunyai keadaan cuaca yang berbeza terutama negara 4 musim. Seelok-eloknya melanconglah pada musim bunga, musim luruh atau di awal musim panas/ sejuk kerana keadaan lebih selesa untuk berjalan-jalan di musim tersebut. Jika musim sejuk, pastikan anda membawa baju sejuk yang bersesuaian dengan suhu. Elakkan melancong semasa musim hujan atau ketika pertukaran musim (kerana di waktu ini kebiasaannya hujan akan turun sepanjang hari), sekiranya tidak dapat dielakkan jangan lupa membawa payung mudah bawa dan baju hujan.
- PENGINAPAN & PENGANGKUTAN
Sebaik-baiknya tempah penginapan (hotel/resort/homestay dsb) dan pengangkutan yang ingin digunakan lebih awal, ini penting terutama pada musim-musim puncak bagi mengelakkan harga melambung tinggi atau tiada kekosongan. Sekiranya anda ingin menggunakan pengangkutan awam, pastikan anda telah meneliti jadual perjalanan kenderaan tersebut beserta harga tiket setiap destinasi (sesetengah negara ada menyediakan kad pintar yang boleh digunakan menaiki kenderaan awam bas, subway dsb. Kad tersebut boleh dibeli di lapangan terbang dan pelancong akan menikmati kadar tambang lebih murah berbanding menggunakan wang tunai).
- BAJET & KEPERLUAN
Melanconglah mengikut kemampuan anda (bawa wang mencukupi untuk perbelanjaan dan saat-saat tidak dijangka). Bawa pakaian secukupnya dan tidak berlebihan bagi memudahkan pergerakan anda. Sekiranya anda melancong ke negara bukan Islam, bawalah makanan segera seperti roti, biskut, minuman 3 dalam 1, serunding atau mee segera sebagai persediaan jika lapar di waktu tengah malam/ di dalam hotel atau sebagai makanan tambahan jika anda tidak dapat menerima makanan mereka. Anda juga digalakkan mengambil perlindungan insurans bagi menghadapi situasi tidak terjangka seperti kemalangan, sakit yang memerlukan anda ke hospital ataupun kelewatan/ pembatalan penerbangan.
- KESIHATAN
Anda pasti tidak mahu berjalan-jalan semasa anda jatuh sakit. Oleh itu sebelum anda pergi melancong, pastikan tahap kesihatan anda adalah yang terbaik. Sediakan ubat-ubatan seperti minyak angin, panadol, kain pembalut luka, garam penghidrat dan krim antiseptik untuk saat kecemasan. Anda (terutama kanak-kanak dan orang tua) digalakkan mengambil suntikan vaksin sebagai perlindungan dari penyakit 2-4 minggu sebelum berlepas (jenis vaksin boleh diketahui melalui doktor anda).
Coolest thing