info@shahidtravel.com.my
>> Laman Web Rasmi Shahid Travel & Tours

Pelancongan kesihatan kini semakin mendapat tempat dan berkembang di Asia dan di Malaysia khususnya. Menyedari hakikat itu, Majlis Pengembaraan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) mengambil tanggungjawab dalam aspek pembangunan dan promosi pelancongan kesihatan di negara ini.

Kelembapan ekonomi tidak menjejaskan kehadiran pelancong kesihatan di negara ini, sebaliknya terus berkembang. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata berdasarkan laporan (MHTC), kira-kira 800,000 pelancong menerima rawatan kesihatan di negara ini pada tahun 2014 dengan pulangan pendapatan sekitar RM777 juta.

“Malaysia dinamakan sebagai negara terbaik di dunia dalam bidang kesihatan berdasarkan International Living Asia 2015, Indeks Persaraan Global.”

APA ITU PELANCONGAN KESIHATAN?

Menurut Kamus Dewan, pelancongan kesihatan bertujuan untuk menarik pelancong berkunjung ke Malaysia atas sebab perawatan dan perubatan di samping melancong. Pelancongan Kesihatan atau Pelancongan Perubatan (Medical Tourism) adalah salah satu daripada industri yang pantas membangun pada ketika ini. Kebanyakan negara menawarkan kemudahan dan perkhidmatan perubatan yang terbaik kepada pengguna mereka.

Kepakaran perubatan di Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia dan kebanyakan hospital persendirian di negara ini mempunyai kualiti yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ini termasuk standard MS ISO9002 dan pengiktirafan Kualiti Kesihatan dari Persatuan Perubatan Malaysia (MSQH). Kesemua pusat perubatan di sini perlu mendapat kelulusan dan lesen dari Kementerian Kesihatan. Dengan berkembangnya reputasi Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk penjagaan kesihatan dan rawatan perubatan, semakin ramai pelawat tiba dari serata dunia mencari penawar untuk pelbagai masalah kesihatan. Antaranya termasuk perkhidmatan perubatan kritikal serta rawatan kosmetik dan pemulihan.

AKTIVITI-AKTIVITI PELANCONGAN KESIHATAN

  • Perkhidmatan perubatan kritikal (contoh: penyakit berkaitan kardiovaskular – penyakit jantung).
  • Rawatan kosmetik dan pemulihan (contoh: rawatan muka dan pelangsingan badan).

 

KELEBIHAN-KELEBIHANNYA

  • Caj perubatan dan kos penginapan hospital di Malaysia amat kompetitif berbanding negara maju yang lain dan tahap kepakaran yang ada merupakan antara yang tertinggi di dunia.
  • Kebanyakan hospital di Malaysia menawarkan pelbagai jenis pilihan penginapan dari yang selesa hingga yang mewah, termasuk bilik persendirian dan bilik serangkai.
  • Perkara yang paling menarik bagi pelawat yang menerima rawatan perubatan di Malaysia ialah tempoh rehat dan penyembuhan yang dihabiskan di tempat rawatan.  Pesakit berpeluang bersiar-siar dan menikmati aktiviti pelancongan sambil mereka menunggu tempoh untuk sembuh.

Semua pihak termasuklah agensi kerajaan, agensi swasta, pusat-pusat kesihatan, spa dan pembekal produk kesihatan perlu bekerjasama untuk penambahbaikkan kualiti perkhidmatan dalam memajukan industri pelancongan kesihatan ini. Tidak mustahil industri pelancongan kesihatan akan menjadi sumber pendapatan utama negara di masa akan datang.

 

Rujukan:

  • Berita Harian (22 Januari 2016)
  • Utusan Online (10 April 2015)
  • https://www.scribd.com/doc/27237111/pelancongankesihatan

“Debaran yang dirasai oleh Puan Aminah akhirnya berlalu juga apabila dirinya pasti bahawa dia telah ditipu oleh syarikat pengelola umrah. Punah sudah hasratnya untuk berangkat menunaikan umrah. Hasratnya yang berkobar-kobar sebelum ini padam umpama pelita kehabisan minyak. Agensi pengendali umrah yang diambilnya memberi pelbagai alasan apabila dihubungi dan yang terkini panggilan melalui telefon tidak lagi berjawab. Apabila dia cuba pergi ke premis pejabat seperti yang tertera di kad nama agensi, pejabat ditutup seolah-olah tidak beroperasi. Mengingati hasrat untuk menunaikan ibadat tersebut sebenarnya lahir apabila seorang tok syeikh memberi ceramah di masjid kampungnya dan mempelawa jemaah menunaikan umrah dengan bayaran separuh sahaja iaitu RM 2500 manakala kos separuh lagi ditaja oleh seorang hamba Allah yang dermawan. Dia segera menyerahkan wang RM 2500 tunai kepada wakil syarikat itu tanpa banyak bertanya atau menyelidiki terlebih dahulu memandangkan tawaran terhad sejumlah 30 orang sahaja. Tawaran itu seperti durian runtuh kepada mereka.”

Demikian antara senario yang berlaku dalam masyarakat punca berlakunya penipuan sama ada yang dilakukan oleh agensi pengendali umrah atau individu perseorangan. Segolongan masyarakat dengan mudah percaya kepada individu yang berperawakan seperti seorang alim. Individu ini memberi ceramah dan mempromosi pakej umrah di masjid dan surau untuk mempengaruhi dan mencari peluang menipu. Terdapat juga individu-individu yang dilantik oleh agensi pengendali umrah dan diberi kepercayaan mengutip wang pendahuluan daripada orang ramai lalu pecah amanah kerana gelap mata melihat sejumlah wang yang besar.

Pada amnya masyarakat Islam mengetahui bahawa umrah merupakan ibadah yang dilaksanakan dengan mengunjungi Baitullah al-Haram pada bila-bila masa selain bulan haji dan perlu berihram, tawaf, saie dan bertahallul mengikut tertib. Umrah juga dikenal dengan haji kecil oleh masyarakat.Sebagaimana haji kefardhuan umrah juga tertakluk sama seperti syarat dalam ibadat haji iaitu Islam, baligh, berakal dan mampu. Tuntutan umrah turut tertakluk berdasarkan kemampuan mereka sama ada dari segi tenaga dan wang ringgit.

Peningkatan tahap pendidikan dan tersebar luasnya ilmu agama melalui media massa dan elektronik menyebabkan masyarakat Islam mula mengambil peduli hukum umrah yang merupakan fardhu ain bagi individu Islam yang mampu untuk kali pertama melaksanakannya atau wajib dengan sebab nazar sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah.” (al-Baqarah : 196).
Berdasarkan peningkatan kesedaran terhadap hukum umrah dan terpenuhinya syarat-syarat umrah sebahagian besar umat Islam di Malaysia tidak dapat dinafikan lagi telah menyebabkan hasrat dan cita-cita untuk menunaikan ibadah umrah ke tanah suci meningkat sebagai pembuktian kesempurnaan iman dan kebaktian kepada Allah SWT. Cita-cita menunaikan haji oleh masyarakat Islam yang dikekang oleh faktor kuota negara dan penantian giliran panggilan haji yang memakan masa bertahun-tahun menyebabkan mereka beralih arah untuk menunaikan ibadah umrah sebagai suatu usaha sokongan sebelum melaksanakan cita-cita besar tersebut.

Dewasa ini juga trend pelancongan ke luar negara oleh rakyat Malaysia telah berkembang yang mana ziarah Makkah dan ibadah umrah termasuk salah satu daripadanya. Hal ini disebabkanfaktor peningkatan taraf ekonomi umat Islam di negara kita. Rata-rata masyarakat Islam di kampung termasuk di Felda telah menikmati taraf ekonomi yang lebih baik hasil daripada pelbagai pembangunan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan.Turut sama ialah masyarakat Islam di bandar yang berpendidikan tinggi menikmati keselesaan hidup dengan kerjaya yang mantap menyumbang sebahagian besar peningkatan statistik industri ini.

Keadaan ini disemarakkan lagi oleh artis-artis terkenal tanah air yang menjadikan umrah sebagai aktiviti tahunan atau menjadikan aktiviti ini suatu perniagaan contohnya pakej umrah bersama artis.Sebagaimana kita tahu artis-artis ini menjadi ikon dan perhatian masyarakat. Kunjungan mereka melaksanakan umrah biasanya digembar-gemburkan oleh media sekali gus mencetuskan sedikit sebanyak hasrat golongan yang memuja mereka untuk mengerjakan ibadah umrah. Hasrat itu dianggap terbaik kerana kunjungan mereka ke Makkah umpama serampang dua mata.

Impak yang sangat positif daripada trend pelancongan rakyat Malaysia dan penunaian haji kecil sebagai sokongan kepada haji besar oleh masyarakat Islam yang berada dalam kelas ekonomi pertengahan ini turut menjelaskan senario perkembangan industri umrah di Malaysia.Industri ini berkembangbegitu ketara pada tahun-tahun kebelakangan berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia. Pada tahun 2011sahaja sejumlah 136,000 orang jemaah Malaysia membuat perjalanan umrah.

Perkembangan industri ini telah membuka ruang dan peluang kepada lebih banyak lagi syarikat untuk masuk ke dalam bidang perniagaan ini sebagai agensi pengendali umrah. Permintaan yang tinggi daripada masyarakat yang berkehendakkan perkhidmatan syarikat pengendali umrah menyebabkan industri ini berpotensi untuk berkembang lebih jauh lagi dan berkeupayaan menjana keuntungan yang sangat besar.

Walau bagaimanapun, melalui dan menjalani proses perkembangan ini, perjalanan industri ini tidak terlepas daripada anasir-anasir buruk iaitu dimasuki oleh agen-agen yang tidak bertanggungjawab. Mereka hanya masuk untuk meraih keuntungan mudah sama ada dengan menjadi agen atau agensi pengendali umrah palsu dengan menipu wang pelanggan semata-mata atau menjalankan perkhidmatan pakej umrah tetapi tidak peduli terhadap kualiti perkhidmatan yang dijanjikan terhadap pelanggan.

Tahun demi tahun penipuan dan penyelewengan agensi pengendali umrah yang dilaporkan meningkat berdasarkan statistik kes yang difailkan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM). Mengikut rekod daripada TTPM pada tahun 2009 hanya 37 kes yang dicatat berbanding pada tahun 2010 sebanyak 155 kes dan 164 kes pada tahun 2011. Peningkatan kes yang ketara dalam dua tahun kebelakangan ini memberikan satu petunjuk yang kurang baik di mana anasir-anasir yang menjurus kepada penipuan sedang masuk ke dalam industri dan keadaan ini perlu dikawal agar tidak membarah dalam masyarakat.

Anggaran kos realistik untuk mengerjakan umrah seharusnya dicari oleh pengguna. Pengguna bijak akan membuat perbandingan harga antara pakej-pakej yang ditawarkan oleh agensi pengendali umrah kerana melalui penyelidikan ini pengguna dapat mengetahui anggaran kos yang diterima akal untuk melaksanakan perjalanan tersebut. Sebarang harga luar biasa yang ditawarkan mungkin di sebaliknya ada isu sama ada wujud kos tersembunyi yang akan diminta kepada pengguna sepanjang tempoh perjalanan umrah ataupun pakej berkualiti rendah.

Lebih malang lagi, jika seseorang telah membuat bayaran pakej umrah terhadap individu atau agensi tetapi hasrat untuk menunaikan umrah umpama mimpi kerana agensi adalah sindiket palsu yang menipu semata-mata. Oleh yang demikian, fikir sejenak di mana letaknya keuntungan yang bakal diperoleh agensi yang menawarkan harga luar biasa rendah berbanding agensi-agensi pesaing bak kata pepatah ada udang di sebalik batu kerana yang pasti tiada sebuah syarikat pun berniaga untuk tujuan kebajikan sepenuhnya.

Tertipu atau dikhianati oleh agensi umrah sama ada secara langsung atau tidak menepati pakej yang dijanjikan seharusnya dapat dielakkan jika kita mengetahui punca utama masalah ini. Kebanyakan kes merekodkan pengguna percaya dengan agen hubungan, tidak mempunyai maklumat tentang isu umrah dan tidak menyelidiki sama ada syarikat pengendali benar-benar wujud atau tidak. Hal ini boleh dianggap pengguna melakukan kecuaian atau menganiayai diri mereka sendiri.

Mengapa masyarakat Islam masih mudah terpedaya? Tidak dinafikan antara sebabnya ialah orang Islam mempunyai hati yang lembut, halus dan mudah bersangka baik terhadap seseorang. Sifat-sifat mahmudah ini sangat baik apatah lagi jika dilorongkan kepada perkara-perkara kebajikan. Namun demikian, kita harus jelas isu yang mana harus bersikap sedemikian dan isu yang mana harus bersikap sebaliknya. Penulis bukan berpendapat pengguna harus bersikap mazmumah tetapi dalam hal perniagaan jelas perlu ada sedikit sikap curiga, berhati-hati terhadap orang yang baru dikenali dan menyelidiki lebih lanjut sesuatu tawaran atau perkhidmatan yang ingin dibeli.

Kuasa utama hakikatnya berada di tangan pengguna atau bakal jemaah. Oleh itu, sejak awal lagi pengguna mesti bijak menggunakan kuasa mereka untuk mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan sindiket atau agensi ini. Pada hemat penulis, satu sikap yang penting ditanamkan dalam diri setiap pengguna adalah sikap prihatin. Menurut Kamus Dewan prihatin bermaksud mengambil berat atau perhatian terhadap sesuatu perkara. Pengguna harus mencari tahu sesuatu maklumat yang disampaikan termasuk sentiasa berwaspada, menyelidiki setiap maklumat yang diterima tanpa menerima bulat-bulat sehingga pasti maklumat itu sahih.

Bertentangan dengan sikap prihatin adalah cuai. Enggan prihatin akan membawa pengguna menerobos masuk ke dalam masalah yang mendukacitakan. Sekiranya pengguna Islam mengakar umbikan sikap prihatin dalam diri untuk menghadapi apa jua hal sama ada terhadap sebarang tawaran pembelian, pakej perkhidmatan dan lain-lain pasti mereka akan terhindar daripada sebarang penipuan.

Demi menghindarkan diri daripada terjerat dalam situasi di atas, terdapat beberapa langkah yang harus diambil oleh bakal jemaah umrah yang prihatin antaranya seperti yang berikut :

  • Menjalankan sedikit kajian tentang umrah dan isu-isu terkini yang dihadapi oleh industri melalui internet.
  • Menyelidiki agensi pengendali umrah yang berdaftar dengan Kementerian Haji Arab Saudi.
  • Meneliti harga tawaran pakej umrah antara agensi-agensi pengendali umrah yang sah agar dapat mengetahui harga tawaran yang realistik.
  • Melayari laman web agensi kerajaan yang dapat membantu memberi input seperti laman web Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) di portal i-Umrah laman web Kementerian Pelancongan Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan lain-lain.
  • Meminta pendapat dan nasihat rakan-rakan dan saudara mara yang pernah menunaikan umrah.

Konklusinya, jadilah pengguna yang prihatin yang melambangkan kebijakan kita di samping melaporkan kes-kes penipuan bagi penguatkuasaan undang-undang terhadap penjenayah yang terlibat. Jika masyarakat berganding bahu menangani isu ini ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni sudah pasti kes penipuan atau kegagalan bakal jemaah umrah melaksanakan perjalanan ibadah akan berkurangan atau dapat dicegah.

Sumber Asal: ZIARAH UMRAH: ELAK JADI MANGSA TIPU ATAU AGENSI TIDAK BERTAULIAH

Larangan semasa Ihram secara umumnya bolehlah dibahagikan kepada 5 kategori:

  • Pakaian
  • Wangian
  • Kecantikan
  • Alam sekitar
  • Hubungan kelamin

Pakaian

1. Muslim lelaki yang sedang berihram adalah sama sekali dilarang untuk memakai pakaian yang berjahit, bertenun, bercantum, bersarung dan sebagainya. Misalnya: seluar, baju, kemeja, stokin, kasut, sepatu berjahit yang boleh menutup badan-badan jari kaki dan tumit belakang kaki, tuala berjahit tepi mahupun kain pelikat dan seumpama dengannya yang berkaitan.

Namun berikut lelaki Muslim yang sedang berihram dibenarkan/diharuskan untuk mengenakan pakaian berikut sewaktu berihram tanpa dikenakan dam:

  • Memakai kain pelikat berjahit tepi atau selimut berjahit tepi dengan cara tidak disarungkan ke badan (sekadar dibuat lapik tikar ataupun selimut ringan sahaja adalah dibenarkan) (sebaiknya kain pelikat atau selimut itu diceraikan dan dilepaskan dari jahitan ataupun cantumannya).
  • Memakai tali pinggang, cincin, jam tangan, beg galas, gelang pengenalan Haji dan Gelang Pengenalan Pesakit serta Gelang Logam Kesihatan (sekiranya diperlukan untuk tujuan meditasi dan perubatan sahaja).
  • Memakai sepatu yang boleh menampakkan jari-jari kaki yang terbebas dan mempunyai tali pengikat diatas urat keting yang boleh menampakkan tumit belakang (misalnya memakai selipar Jepun, selipar Hawaii dan seumpama dengannya).
  • Menutup kaki dengan kain Ihram.
  • Menyemat pin kain pada kain ihram di sebelah bawah sahaja bagi mengelakkan ia mudah tertanggal jika dirempuh orang (kebenarannya hanya boleh diletakkan di aras pinggang sahaja pada bilangan pin yang munasabah).
  • Bercawat (berseluar dalam) dengan kain ihram yang tidak berjahit ataupun bercantum.
  • Memakai lampin pakai buang kerana ingin membuang hajat tidak berdosa dan tidak dikenakan dam jika tidak menyusahkan orang lain dan membelakangi peraturan ihram.

Nota: Jika seseorang lelaki Muslim yang berihram membuat sebaliknya dari perkara diatas secara tidak sengaja ataupun terlupa, maka dia tidak dikira berdosa dan tidak dikenakan Dam tetapi ia perlulah menanggalkan pakaian tersebut secepat mungkin. Tetapi jika membuatnya dengan maksud yang jahat maka berdosa serta dikenakan Dam (Takhyir dan Taqdir). Tidak berdosa bagi yang melakukan perbuatan-perbuatan yang melanggari hukum berpakaian dalam Ihram jika disebabkan oleh keperluan terdesak serta menjaga keselamatan dan kesihatan seperti:

  • Memakai sarung lutut untuk melegakan sakit lutut yang tidak melekap dan melekat namun dikenakan Dam. Namun jika sarung lutut itu melekap secara melekat maka ia tidak dikenakan Dam kerana sarung lutut jenis itu tidak dijahit.
  • Memakai kasut pada kaki sihat demi mengimbangi badan dan perjalanan adalah dibenarkan tetapi akan dikenakan Dam.

2. Lelaki Muslim yang sedang berihram adalah dilarang untuk menutup kepala dengan cara meletakkan apa-apa kain atau penutup diatas rambut dan kulit kepala. Seperti: songkok, kopiah, serban, selendang, malah kain Ihram sekalipun. Jika dilakukan juga tanpa ada keperluan yang mustahak maka ia berdosa dan dikenakan Dam (Takhyir dan Taqdir). Tetapi diharuskan melakukan keperluan berikut dalam Ihram tanpa dikenakan Dam:

  • Menggunakan payung
  • Berteduh di bawah pokok
  • Berteduh di bawah khemah

Menutup muka, larangan ini hanya dikenakan kepada wanita Muslim yang dalam keadaan berihram serta dalam solat. Jika ia dilakukan dengan sengaja maka dikira berdosa dan perlu dikenakan Dam (Takhyir dan Taqdir). Jika tidak sengaja maka perlu menanggalkannya dengan kadar segara tanpa dikenakan Dam dan tidak berdosa. Menutup muka hanya boleh dilakukan oleh wanita sekiranya dia:

  • Ingin menutup fitnah dan ingin mengawal situasi dan kondisi syahwat bagi lelaki yang terpandang bagi mengelakkan terjatuhnya fitnah yang keterlaluan akibat kecantikan wajahnya.
  • Ingin menutup rongga-rongga mulut, telinga, kulit, mata dan hidung sekiranya diserangi dengan debu akibat ribut debu yang keterlaluan dan kemasukan anasir luar yang merbahaya yang dicurigai mampu mendatangkan kemudaratan pada wajah sekiranya tidak ditutup seperti serangga dan bahan kimia yang merbahaya.

Wanita dan lelaki yang sedang berihram adalah dilarang untuk memakai sarung tangan tanpa ada keperluan khusus yang terdesak seperti penyakit pada tangan dan lain-lain yang dianggap keperluan penting.

Namun wanita dan lelaki yang berihram adalah dibenarkan untuk memasukkan tangan ke dalam beg plastik atau kantung kain. Boleh juga melindungi tangan disebalik tudung, skarf dan kain Ihram.

Wangian

1.Bagi setiap Jemaah Haji atau Umrah yang Muslim (lelaki dan wanita) serta yang mengenakan pemakaian Ihram, mereka dilarang sama sekali bagi mereka untuk memakai wangi-wangian sama ada di badan, rambut, janggut dan sebagainya serta makanan, minuman atau menghidunya ke dalam hidung. Namun:

•Seseorang yang berada dalam Ihram adalah dibenarkan untuk menggunakan ubat gigi, sabun mandi, syampu rambut, pencuci muka dan minyak angin, minyak urut walaupun ia berbau wangi. Hal ini kerana penggunaannya adalah untuk niat menjaga kebersihan dan kesihatan. Bukannya untuk berwangi-wangian. Tetapi perlu diingatkan penggunaan bahan tersebut janganlah disengajakan untuk dilebih-lebihkan kerana jika ia bertujuan sengaja untuk merancakkan bauan wangi di badan, maka perbuatan itu telah dikira berdosa serta perlu menyempurnakan Dam (Takhyir dan Taqdir). Begitu juga dalam penggunaan bahan minuman dan makanan yang berperisa dan berbau-bauan.

•Jika seseorang itu dalam keadaan berihram, lantas secara tidak sengaja dia telah menyembur wangian (minyak attar dan minyak wangi) ke atas dirinya ataupun orang lain yang telah menyembur wangian atas tubuhnya secara sengaja ataupun tidak sengaja. Maka perlulah orang itu menghilangkan kesan wangian atas badannya dengan kadar segera. Jika tidak menghilangkannya dengan segera sedangkan sudah mengetahui, maka perbuatan itu telah dikira berdosa serta perlu menyempurnakan Dam (Takhyir dan Taqdir).

•Seseorang yang sedang mengucup/mencium Hajar Aswad, perlulah berhati-hati ketika mengucupnya supaya ia tidak cedera kerana dirempuh oleh orang ramai serta ia juga perlu berhati-hati agar wangian dari batu Hajar Aswad itu tidak melekat pada mulut dan wajahnya. Hal ini kerana Hajar Aswad sering diletakkan wangian kepadanya. Seseorang apabila sudah melekatnya wangian Hajar Aswad padanya secara tidak sengaja maka perlulah ia segera menghilangkannya. Jika tidak, maka perbuatan itu telah dikira berdosa serta perlu menyempurnakan Dam (Takhyir dan Taqdir).

•Jika seseorang itu memakai wagian pada kain Ihram sebelum dia berniat Ihram, serta wangian itu masih wujud pada pakaian Ihramnya walaupun sesudah dia berniat Ihram maka disini terdapat 2 pendapat yang boleh diikuti:

  1. Menurut pendapat Al-Asah, maka perbuatan itu tidak berdosa tetapi dikenakan Dam.
  2. Menurut pendapat Muqabil Asah, maka perbuatan itu tidak berdosa dan tidak dikenakan Dam, kerana pada kebiasaannya pakaian dipakai dan kemudian ditanggalkan. Dan perkara ini merupakan suatu kebiasaan.

•Wangian yang dipakai pada badan (sebelum berniat Ihram) dan kemudian ia cair kerana akibat tindakan perpeluhan. Lalu melekat pada kain Ihram, maka oleh yang demikian, kain Ihram itu boleh dipakai semula walaupun telah ditanggal dan masih berbau harum dan wangi. Perbuatan itu tidak berdosa dan tidak dikenakan Dam.

Kiswah atau Kelambu Kaabah turut dilumurkan minyak wangi, maka perlulah berhati-hati ketika menghampirinya supaya ia tidak cedera kerana dirempuh oleh orang ramai serta ia juga perlu berhati-hati agar wangian dari Kiswah itu tidak melekat pada mulut dan wajahnya serta tubuh badan. Hal ini Kiswah sering diletakkan wangian kepadanya. Seseorang apabila sudah melekatnya wangian Kiswah padanya secara tidak sengaja maka perlulah ia segera menghilangkannya. Jika tidak, maka perbuatan itu telah dikira berdosa serta perlu menyempurnakan Dam (Takhyir dan Taqdir).

•Memakai losyen pelindung sinaran matahari UV adalah dibenarkan kerana ia bertujuan untuk perubatan dan kesihatan.

Kecantikan

Setiap umat Islam (lelaki dan perempuan) yang menunaikan Haji dan Umrah di Baitullah serta di dalam keadaan Ihram adalah dilarang sama sekali menanggalkan, mencabut dam mengetip rambut dan kuku dengan sengaja. Sekiranya dia tetap melakukan larangan demikian maka perbuatan itu telah dikira berdosa serta perlu menyempurnakan Dam (Takhyir dan Taqdir). Jika dia tidak sengaja dan memohon keampunan dari Allah SWT secara langsung maka perbuatan itu tidak berdosa tetapi dikenakan Dam (Takhyir dan Taqdir).

Sekiranya dia bersyampu atau atau berkait dengannya (seperti berwuduk) lantas rambutnya gugur sedangkan dia tidak menghendaki akan perkara tersebut terjadi (rambut gugur) atau mungkin rambutnya dari jenis gen yang cepat gugur, maka dia tidak berdosa tetapi dikenakan Dam.

Tetapi, jika kuku atau rambut, bulu tubuh itu jatuh atau tercabut dengan sendiri sedangkan dia tidak menghendakinya untuk terjatuh maka perbuatan itu tidak berdosa dan tidak dikenakan Dam.

Wanita Muslim yang memakai serkup dan tudung sepanjang waktu Ihram dan dia mendapati terdapatnya rambut didalam serkupnya (apabila dibuka) maka dia tidak berdosa dan tidak dikenakan Dam kerana perkara itu terjadi bukan atas kehendaknya.

Sekiranya dia (jemaah yang dalam Ihram itu) adalah orang yang dalam keadaan mudah untuk rambutnya gugur akibat penyakit ataupun gen keturunannya, maka adalah diperlukan untuk orang itu memendekkan rambutnya sebelum dia berniat Ihram.

Sekiranya dia ada dikesan berpenyakit oleh pakar perubatan atau amat berkeperluan untuk bercukur sewaktu dia berIhram dan diminta serta dikehendakinya untuk mencukur rambut atau membotakkan rambut pada waktu itu juga dan tidak boleh dilewatkan sesudah dia bertahallul, maka di perlu melakukan perkara tersebut seperti yang diarahkan demi menjaga kesihatan dan keselamatan dirinya. Maka dari itu, dia dan penyuruh pelaksanaan itu tidak berdosa tetapi jemaah yang berihram itu diperlukan untuknya membayar Dam (Takhyir dan Taqdir).

Jika jemaah yang sedang dalam Ihram itu mendapati terdapatnya kulit mati kerak kulit dan sebagainya diatas bulu/rambutnya dan dia menghilangkannya, maka dia tidak berdosa dan tidak dikenakan Dam kerana bulu tersebut mengikut kulit.

Jemaah yang dalam Ihram juga boleh untuk mencabut kukunya jika dia mendapati kukunya itu menyebabkan kemudharatan padanya seperti kuku terbelah atau cengkam dan ia tidak dikenakan Dam. Harus baginya untuk mencabut kulit bibir, tangan, kaki yang mengelupas ketika dia berihram. Dan dia tidak dikenakan Dam. Jika dipotong anak jari yang masih ada kukunya, maka dia tidak berdosa dan tidak dikenakan Dam kerana kuku tersebut mengikut jarinya.

Nota: Jemaah yang sedang berIhram juga adalah diminta untuk menjauhi perbuatan (seperti bersyampu, menggaru kepala, bersikat dan sebagainya) yang boleh menyebabkan rambut, bulu atau kukunya untuk tertanggal ketika dia masih belum lagi boleh bertahallul, hal ini adalah untuk kebaikan dan kemudahan mereka jua.

Alam sekitar

1. Adalah dilarang bagi setiap jemaah Umrah ketika dalam Ihramnya laki-laki dan perempuan untuk mencabut, memotong, mematah dan mengerat dahan pokok dan pohon yang ditanam hidup dan tumbuh di Tanah Haram. Larangan ini adalah turut tidak boleh dilakukan oleh mana-mana orang yang hadir di Tanah Haram. Hal ini kerana, pokok yang hidup subur di Tanah Haram adalah “Pohon-pohon yang diberkati”.

2. Adalah dilarang bagi setiap jemaah Umrah ketika dalam Ihramnya laki-laki dan perempuan untuk memburu, menembak, membunuh, mengorbankan, menangkap, mengurung, membinasakan dan mengasari setiap haiwan darat yang boleh atau dilarang untuk dimakan. Larangan ini melibatkan setiap jenis haiwan darat, burung dan serangga selain daripada haiwan laut.

Jika seseorang itu memijak atau terbunuh haiwan/serangga kecil seperti semut hitam kecil, belalang dan sebagainya dengan tidak sengaja maka dia tidak dikira berdosa akan tetapi ia amat perlu membayar Dam mengikut nilai serangga yang terhapus.

Seseorang itu dibenarkan untuk membunuh haiwan dan serangga yang boleh menyebabkan dia mungkin akan mengalami kemudharatan dan terancam kemaslihatannya dan jemaah lain jika terus dibiarkannya ketika dalam Ihram seperti nyamuk, ular, kala jengking dan labah-labah. Dan dia tidak dikenakan Dam. Namun sebaiknya dia hanya perlu menghalau serangga atau haiwan itu terlebih dahulu sekiranya ada kemampuan bagi dirinya kerana itu adalah lebih baik.

Hubungan kelamin

1. Melakukan mukaddimah kepada persetubuhan

Setiap jemaah (lelaki dan wanita) Umrah yang dalam Ihram adalah dilarang untuk melakukan mukaddimah (Permulaan/Pendahuluan) kepada persetubuhan sama ada dalam bentuk perkataan, perbuataan, layanan isyarat tubuh atau sebagainya.

Namun demikian, adalah tidak dikenakan Dam bagi mereka yang dalam Ihram yang keluar air Mani akibat melihat wanita dan dilamun khayal seks.

Suami isteri atau mahram@muhrim dibolehkan untuk memegang tangan (bukan anggota sulit) ketika dalam Ihram dengan syarat mereka perlulah dalam keadaan dimana disebut “Masyaqqah” iaitu: Keperluan dengan Tanpa Rasa Syahwat (ingin melakukan seks).

Suami isteri atau mahram adalah dibolehkan untuk berpelukan dengan tujuan keperluan terdesak (bukan ingin melakukan seks) serta tujuan keselamatan seperti kesakitan dan lain-lain ketika dalam Ihram dengan syarat mereka perlulah dalam keadaan dimana disebut “Masyaqqah”iaitu Keperluan dengan Tanpa Rasa Syahwat (ingin melakukan seks).

2. Melakukan persetubuhan

Perbuatan persetubuhan (seks) adalah suatu yang dilarang keras dan mampu untuk merosakkan ibadah Umrah seseorang khususnya ketika jemaah itu ternyata dalam keadaan berIhram sebelum berTahallul. Keadaan larangan ini adalah berada pada kedudukan di mana:

  • Sengaja bersama (dengan rela hati) melakukan persetubuhan (seks) tanpa dipaksa
  • Tahu hukum melakukan seks ketika berIhram adalah Haram
  • Sudah Mumaiyiz (tahu membezakan perbuatan baik dan buruk yakni bermula sekitar umur 7 atau 9 tahun dan keatas)

Apabila telah ternyata suami dan isteri melakukan perbuatan diatas, maka wajib bagi mereka untuk meneruskan baki ibadah-ibadah umrah yang belum terlaksana untuk dilaksanakan sesempurna yang mungkin sehingga selesai, dan seterusnya segera mengqadakkan umrah tersebut walaupun ianya adalah sekadar Umrah Sunat. Hanya suami yang dikenakan Dam (Tertib dan Taadil). Kedua-dua (suami dan isteri) perlu memohon keampunan dari Allah SWT jua hendaknya.

3. Larangan berkahwin, mengahwinkan atau menerima wakil kahwin

Semua perbuatan berkahwin, mengahwinkan atau menerima wakil kahwin adalah dilarang sama sekali ketika jemaah itu dalam keadaan BerIhram. Bahkan, aktiviti pra-perkahwinan dan pasca perkahwinan seperti merisik, meminang dan bernikah adalah tidak sah. Akad nikah juga dikira Haram. Namun, orang yang terlibat tidak dikenakan Dam.

Sumber

  • https://ms.wikipedia.org/wiki/Perkara_yang_dilarang_dalam_Ihram

RAHSIA UMRAH MABRUR

Konsep & Falsafah

Umrah adalah suatu permusafiran suci. Setiap permusafiran itu penuh dengan ketidakselesaan, keletihan, kekurangan, kelemahan dan ketidak tentuan. Umrah penuh dengan cabaran dan kekangan seperti ramai orang, perbezaan budaya, kesesakan, tolak menolak, himpit menghimpit, kurang bekalan air, undang undang yg ketat dan sebagainya yang amat memerlukan kesabaran, tolak ansur, timbang rasa, kasih sayang, ukhwah dan semangat persaudaraan.

Umrah adalah latihan batiniah (spiritual ) untuk membiasakan diri dengan kehidupan akhirat seperti melupakan sejenak keselesaan, kebahagiaan, pangkat dan kedudukan, taraf, darjat, kekuasaan dan  keturunan.

Umrah adalah latihan untuk bekerjasama, bertoleransi dan saling bertolak ansur serta memahami  tanpa mengira perbezaan pangkat, darjat dan keturunan seperti berkongsi bilik tidur, bilik air, tandas dan dewan makan.

Umrah mempertemukan kita dengan Makkah dan Madinah sebagai suatu tempat yang amat asing kepada rakyat Malaysia terutama dalam aspek cuaca, reka bentuk bangunan, kemudahan dan prasarana seperti kekurangan bekalan air serta budaya penduduk tempatan.

Umrah penuh dengan doa, ganjaran dan peluang untuk mendapatkan keberkatan dan keredaan Allah seperti kelebihan berdoa di Multazam, Hajar Aswad, Mitzab Hijr Ismail, Maqam Ibrahim,  Raudah dan sewaktu tawaf, saie, tahalul dan bersedekah.

Umrah adalah proses penyucian diri. Dalam proses penyucian dan permohonan ampun kepada Allah, kita mungkin diuji dengan pelbagai bentuk dan cara yang tidak dapat diramalkan.
Lazimnya,Allah menguji kita menerusi wahana kelemahan diri kerana kelemahan inilah yang sering menjerumuskan kita kelembah kemaksiatan dan keserderhanaan kepada Allah.

Ibadat umrah walaupun dari pelaksanaannya termasuk dalam bidang fekah, namun pengamalan atau pengaplikasiannya wajib dilaksanakan secara bersepadu dan merangkumi aspek tauhid, fekah dan tasawuf.

Umrah berkait dengan ibadat haji, rukun islam kelima. Rukun wajib, syarat dan amalan sunat dalam ibadat umrah jika benar benar difahami,dihayati dan diamalkan pasti dapat menjernihkan hati, membersihkan fikiran dan melenturkan kerakusan hawa nafsu. Ibadat Umrah adalah ejen atau mekanisma perubahan yang mampu mengubah keperibadian manusia daripada kurang baik kepada baik dan daripada sedia baik kepada cemerlang.

Umrah yang berkesan dan berjaya sahaja yang mampu membentuk perilaku yang memantapkan keyakinan diri, membentuk pandangan alam yang betul,membina sistem nilai yang jelas dan bersikap positif. Jika tidak ibadat umrah hanya menjadi ibadah keagamaan dan tradisi turun temurun yang tidak mampu meninggalkan kesan atau memberi faedah.

  • Jangan risau untuk pergi Umrah sewaktu muda. Di sana ada ramai pasangan muda dengan bersungguh-sungguh di mata mereka, mengabdikan diri kepada Tuhan. Hebat!
  • Bawa kain ihram lebih sekiranya salah satunya kotor atau anda kuat berpeluh.
  • Berhati-hati sewaktu memakai Ihram.Ada yang secara tidak sengaja ‘terlondeh’ kain ihram.
  • Jika anda sensitif kepada cahaya, bawalah kacamata hitam kerana di kawasan Kaabah akan sangat silau.
  • Satu petua untuk mengucup Hajar Aswad ialah dengan beratur 10-15 minit sebelum azan Asar. Orang yang tolak menolak akan dihalau dan barisan akan bergerak dengan cepat.
  • Untuk Hijr Ismail pada waktu Zohor atau Asar, solat berdekatan dengan pintu masuk dan sewaktu solat selesai, hampiri pintu masuk. Selepas Solat Jenazah, pintu akan dibuka dan anda boleh terus memasukinya.
  • Belajar cara Solat Jenazah. Anda akan solat jenazah 5 kali sehari. Ini bukan gurauan.
  • Jangan risau tentang cuaca panas terik. Walaupun ianya amat panas, anda tidak akan berapa merasainya.
  • Ada kawasan solat untuk wanita di tingkat dua Masjidil Haram. Berdekatan dengan Intercontinental dan Zam Zam Suite, akan ada escalator. Solat di sana lebih tenang daripada di tingkat bawah.
  • Wanita dibenarkan masuk ke kawasan Raudhah di Masjid Nabawi pada pagi dan malam dalam lebih kurang Pada waktu malam tidak seramai waktu siang.
  • Kalau anda ingin solat berdekatan dengan kiblat umat Islam untuk solat jemaah, solat sunat dahulu dan kemudian masuk ke dalam kumpulan mereka yang sedang lakukan tawaf. Mereka akan membuat barisan saf sebelum solat bermula.
  • Tidak banyak makanan di Lapangan Terbang dan ianya mahal. Jadi kalau boleh, bawa makanan dan minuman dari tempat lain. Mereka tidak memeriksa cecair di Imigresen.
  • Jika perlu solat di Lapangan Terbang, bawa sejadah kerana anda akan solat di kawasan lapang.
  • Ikuti semua tip-tip dan doa dari pembacaan anda pada Umrah pertama anda. Kemudian pada Umrah kedua, anda boleh lakukannya dari hati. Kali pertama melakukannya, anda akan gementar dan takjub dengan keadaan sekeliling.
  • Ianya akan mengambil masa 2-3 jam dari kapal terbang mendarat sehingga anda meninggalkan Lapangan Terbang.
  • Ada ‘ulat’ yang akan mengangkat beg-beg anda ke atas troli mereka dan membawanya melepasi kawasan pemeriksaan beg. Perkara itu tidak diperlukan namun akan meminta SR10 atas pertolongan itu. Begitu juga mereka yang ingin ‘menolong’ anda dengan mendoakan anda, membantu mengambil gambar, atau meminjamkan gunting (ketika selesai Sai’e) akan meminta duit sebagai balasan.
  • Perkuburan Baqi’ akan ditutup kecuali selepas subuh sehingga 9 pagi. Kebanyakan kumpulan Jemaah umrah tidak melawat secara terperinci di Baqi’. Jika anda ingin mendalami Baqi’ secara lebih terperinci, anda boleh buat carian peta Baqi’ secara online dan pergi sendirian. Ianya bagus untuk dihayati dan rasai sendiri semangat para Shuhada’ di sana. Kubur kepada anak Nabi Muhammad SAW, Ibrahim mempunyai kekuatan tersendiri. Ambil perhatian di mana pengawal amat sensitif kepada pelawat yang membaca doa-doa dan yang mengambil gambar-gambar. Tidak semua buku panduan Umrah mempunyai perincian doa-doa di setiap perkuburan.
  • Waktu paling sibuk sudah tentu sewaktu Haji, diikuti Ramdhan. Kemudian adalah apabila Visa Umrah dibuka kembali. Waktu paling tenang (tidak sibuk) adalah sebelum Visa Umrah dikeluarkan (permit Ziarah) tetapi untuk beberapa buah negara sahaja termasuk Malaysia dan Brunei.
  • Pasang GPS pada kasut anda. Saya bergurau! Tetapi secara serius bila anda sampai di hadapan Ka’bah, lihat belakang dan pastikan betul-betul pintu masuk yang anda lalui tadi. Anda perlu tahu kadang-kala perkara ‘kelakar’ boleh berlaku di Mekah. Pernah terjadi bila satu ketika saya malas untuk menghabiskan zikir dan ingin keluar dari Masjid namun saya tidak jumpa kasut saya. Akhirnya saya menyerah dan habiskan zikir. Kemudian baru saya sedar bahawa saya cari di tanda hijau yang salah.
  • Di tingkat dua menara Safwa (di sebelah Zam-Zam tower) ada sebuah restoran Felda: D’ Saji di mana terdapat makanan Melayu yang sedap. Terdapat pelbagai jenis restoran di P3 dan P4 Menara Zam-Zam. Citarasa adalah sebuah restoran selera Indonesia yang baik. Anda boleh menikmati juadah secara buffet dengan hanya RM50. Harga makanan di sana lebih kurang dua kali ganda berbanding harga di Malaysia. Makanan segera untuk seorang adalah dalam SR20-SR25 berbanding lebih kurang SR10 jika di Malaysia. Makanan segera di Zam Zam termasuklah Burger King, KFC, Hardees, Pizza Hut, Movenpick Ice Cream dan Baskin Robbins.
  • Telaga Zam Zam telah pun ditutup sejak 2003 jadi tidak perlulah anda mencarinya.

 

Diterjemah dari Hassan Scott, Forum Trip Advisor

Sumber: http://www.tripadvisor.com.my/ShowTopic-g293993-i4536-k2868507-o20-Tips_for_umrah-Mecca_Makkah_Province.html

Setiap wanita hamil yang ingin menaiki pesawat, harus mendapatkan khidmat nasihat doktor terlebih dahulu kerana keadaan setiap wanita hamil adalah berbeza-beza mengikut individu. Namun begitu secara amnya, waktu yang masih sesuai untuk wanita hamil menaiki penerbangan adalah semasa trimester kedua (18-24 minggu) kerana waktu ini risiko melahirkan bayi pra-matang adalah lebih rendah. Sekiranya kehamilan sudah mencapai 36 minggu atau lebih, wanita hamil tidak digalakkan untuk menaiki penerbangan. Sungguhpun begitu ia tertakluk kepada polisi sesebuah syarikat penerbangan sama ada membenarkan atau tidak wanita hamil untuk menaiki pesawat mereka. Surat keizinan daripada doktor diperlukan sebelum anda dibenarkan menaiki penerbangan. Seelok-eloknya dapatkan perlindungan insuran sebelum penerbangan.

“Bagi wanita hamil, berjumpalah dengan doktor anda untuk mendapatkan khidmat nasihat sebelum penerbangan.”

Berikut beberapa tips untuk ibu mengandung menaiki penerbangan:

  1. KESELESAAN
    Pakailah pakaian yang memberi keselesaan kepada anda. Contohnya pakaian yang longgar dan diperbuat daripada kapas, kasut atau sandal yang rata dan stoking kaki untuk mengurangkan risiko kekejangan kaki. Semasa berada di dalam penerbangan, pilihlah posisi duduk yang relaks & selesa, tempat duduk di bahagian lorong (aisle) dan berhampiran dengan tandas.
  1. MAKANAN & MINUMAN
    Sebelum menaiki pesawat, pastikan sekurang-kurangnya anda sudah makan sedikit makanan sebagai alas perut. Bagi ibu mengandung, kebiasaannya waktu lapar tidak menentu. Oleh itu bawalah makanan ringan yang berkhasiat dan tidak memudaratkan kandungan. Minum lebih banyak air untuk mengelakkan dehidrasi. Hindari juga minuman berkafein untuk mencegah dehidrasi.
  1. PERGERAKAN
    Usahakan untuk melakukan pergerakan bangun dan berjalan setiap setengah jam untuk meregangkan otot-otot dan mengelakkan pembuluh darah dari tersumbat. Lakukan sedikit senaman kaki setiap 15 minit untuk mengelakkan kekejangan.
  1. UBAT-UBATAN
    Bagi wanita hamil, sering terjadi rasa mual atau pening-pening. Dengan kadar tekanan udara yang rendah, kemungkinan anda akan mengalami rasa nyeri di telinga, hidung dan tekak. Rasa tidak selesa tersebut boleh dicegah dengan mengunyah sesuatu atau menyapu balm/ minyak angin. Bawalah ubat-ubatan yang bersesuaian dengan anda semasa dalam penerbangan.
  • KEADAAN SEMASA
    Selidik terlebih dahulu keadaan semasa sesuatu negara terutama yang berkaitan dengan keselamatan dan penyakit berjangkit. Elakkan melancong ke negara yang sedang dalam pergolakkan peperangan, sedang mengalami penyakit berjangkit yang serius (contoh: ebola & selsema burung) dan situasi politik yang tidak stabil.
  • MATAWANG
    Ketahui kadar tukaran wang semasa dan serba sedikit bahasa yang digunakan mereka untuk mengelakkan anda tertipu semasa ingin menukar wang di negara tersebut serta memudahkan urusan jual-beli anda. Biasanya lebih mudah membuat tukaran di negara sendiri sebelum pergi melancong. Setiap penduduk Malaysia yang ingin ke luar negara hanya dibenarkan membawa keluar/ membawa masuk wang tunai maksima bernilai USD10,000. Sekiranya lebih daripada itu, wajib mengisi borang pengisyhtiharan kastam (tertakluk Akta Kastam 1967).

“Rancanglah trip pelancongan anda agar tidak berlaku pembaziran dan segalanya berjalan lancar.”

  • DOKUMEN
    Setiap kali ingin ke luar negara, pastikan passport anda mempunyai baki tempoh melebihi 6 bulan (dari tarikh berlepas atau seelok-eloknya dari tarikh tiba kembali di Malaysia), selain itu periksa sama ada negara yang ingin dikunjungi memerlukan visa atau tidak. Pastikan tempoh visa diproses mencukupi sebelum tarikh anda melancong. Sentiasa bersedia dengan pen, jadual perjalanan, nama hotel atau agensi pelancongan yang digunakan kerana sebelum memasuki sesebuah negara, anda dikehendaki mengisi borang kemasukan ke negara tersebut dan akan disahkan di kaunter masuk imigresen mereka.
  • KEADAAN CUACA
    Setiap negara mempunyai keadaan cuaca yang berbeza terutama negara 4 musim. Seelok-eloknya melanconglah pada musim bunga, musim luruh atau di awal musim panas/ sejuk kerana keadaan lebih selesa untuk berjalan-jalan di musim tersebut. Jika musim sejuk, pastikan anda membawa baju sejuk yang bersesuaian dengan suhu. Elakkan melancong semasa musim hujan atau ketika pertukaran musim (kerana di waktu ini kebiasaannya hujan akan turun sepanjang hari), sekiranya tidak dapat dielakkan jangan lupa membawa payung mudah bawa dan baju hujan.
  • PENGINAPAN & PENGANGKUTAN
    Sebaik-baiknya tempah penginapan (hotel/resort/homestay dsb) dan pengangkutan yang ingin digunakan lebih awal, ini penting terutama pada musim-musim puncak bagi mengelakkan harga melambung tinggi atau tiada kekosongan. Sekiranya anda ingin menggunakan pengangkutan awam, pastikan anda telah meneliti jadual perjalanan kenderaan tersebut beserta harga tiket setiap destinasi (sesetengah negara ada menyediakan kad pintar yang boleh digunakan menaiki kenderaan awam bas, subway dsb. Kad tersebut boleh dibeli di lapangan terbang dan pelancong akan menikmati kadar tambang lebih murah berbanding menggunakan wang tunai).
  • BAJET & KEPERLUAN
    Melanconglah mengikut kemampuan anda (bawa wang mencukupi untuk perbelanjaan dan saat-saat tidak dijangka). Bawa pakaian secukupnya dan tidak berlebihan bagi memudahkan pergerakan anda. Sekiranya anda melancong ke negara bukan Islam, bawalah makanan segera seperti roti, biskut, minuman 3 dalam 1, serunding atau mee segera sebagai persediaan jika lapar di waktu tengah malam/ di dalam hotel atau sebagai makanan tambahan jika anda tidak dapat menerima makanan mereka. Anda juga digalakkan mengambil perlindungan insurans bagi menghadapi situasi tidak terjangka seperti kemalangan, sakit yang memerlukan anda ke hospital ataupun kelewatan/ pembatalan penerbangan.
  • KESIHATAN
    Anda pasti tidak mahu berjalan-jalan semasa anda jatuh sakit. Oleh itu sebelum anda pergi melancong, pastikan tahap kesihatan anda adalah yang terbaik. Sediakan ubat-ubatan seperti minyak angin, panadol, kain pembalut luka, garam penghidrat dan krim antiseptik untuk saat kecemasan. Anda (terutama kanak-kanak dan orang tua) digalakkan mengambil suntikan vaksin sebagai perlindungan dari penyakit 2-4 minggu sebelum berlepas (jenis vaksin boleh diketahui melalui doktor anda).